Home » , » Bangkok hadapi banjir terburuk sejak 50 tahun

Bangkok hadapi banjir terburuk sejak 50 tahun

Written By Wanie on Tuesday, 1 November 2011 | 11/01/2011 01:00:00 pm


BANGKOK – Pekerja-pekerja penyelamat bertungkus-lumus mengukuhkan tembok-tembok guni pasir sekitar bandar raya ini semalam ketika ibu kota Thailand berkenaan diancam banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun selepas semua wilayah di utara ditenggelami air bah.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra cuba meyakinkan 12 juta penduduk di sini bahawa mereka akan terlepas daripada bencana alam itu yang telah menenggelamkan lebih satu pertiga negara berkenaan sejak Julai lalu.
Sekurang-kurangnya 297 orang disahkan terkorban dengan kerugian akibat banjir yang menukar banyak perkampungan dan kawasan industri menjadi tasik itu kini mencecah AS$3 bilion (RM9.37 bilion).
Bahagian utara, timur laut dan tengah Thailand paling teruk terjejas manakala ibu kota Thailand yang berada cuma dua meter dari aras laut turut terancam selepas air dari beberapa empangan di utara melimpah ke dalam Sungai Chao Phraya yang mengalir menerusi kota metropolitan itu.
Yingluck bagaimanapun berkata, ibu kota Thailand itu cukup terlindung selepas pihak berkuasa meninggikan tebing di tiga kawasan di luar bandar raya ini.
Di sebalik jaminan pihak berkuasa, penduduk bertindak menyimpan barangan keperluan seperti air minuman, mi segera, beras dan makanan dalam tin dengan beberapa pasar raya utama di sini kehabisan stok makanan.
“Jika kami tidak membuat persediaan, sukar untuk membayangkan apa yang akan terjadi kepada kami jika kerajaan lambat menghulurkan bantuan,” kata seorang pekerja bank di sini, Sompong Pinmaninsab.
Setakat ini, 25 daripada 77 wilayah Thailand digenangi air banjir. Sejumlah 1.62 juta tanah pertanian atau sekitar 16 kali ganda saiz pulau Hong Kong ditenggelami air.
Hampir 800,000 kediaman pula musnah atau rosak dengan ribuan penduduk terpaksa bersesak tinggal di pusat-pusat penempatan sementara.
Wilayah Ayutthaya, Pathum Thani dan Nakhon Sawan di utara bandar raya ini mengalami kesan yang paling buruk.
Banyak rumah, jalan raya dan taman perindustrian musnah dilanda air bah.
Dalam usaha melindungi ibu kota Thailand, pihak berkuasa mengukuhkan pertahanan terakhirnya iaitu tembok penghadang banjir sejauh 4 kilometer di sepanjang sebuah terusan dan pintu air di wilayah Pathum Thani di utara bandar raya ini.
Banyak pejabat, kedai dan restoran di wilayah berkenaan ditenggelami air paras dada dengan penduduknya terpaksa berulang-alik dengan menaiki bot. – Reuters
Sumber:


Klik on this advertisement for detail

0 comments:

Post a Comment